Sejarah ringkas Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik

Selaras dengan syor-syor dalam Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib tentang pendidikan teknik dan vokasional, Jawatankuasa Penyemak Dasar Pelajaran 1960 mencadangkan sebuah maktab perguruan teknik ditubuhkan selewat-lewatnya pada tahun 1962. Oleh itu dalam bulan Jun 1960, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mendapatkan pakar teknik dari Kanada bagi mengkaji penubuhan maktab perguruan teknik di negara ini.

Kemudian pada bulan Jun 1961, dengan kerjasama Kerajaan Kanada melalui Rancangan Colombo, dua orang pakar pendidikan teknik dan vokasional Kanada iaitu Encik C.C. Aschroft, pakar kejuruteraan dan bekas Pengetua Maktab Perguruan Teknik Ontario, Kanada dan Encik D.T. Dingwell, bekas guru teknik di Junior Technical Trade School, Kuala Lumpur (1956-1958) telah datang ke negara ini untuk membuat kajian. Hasilnya, mereka telah mengesyorkan kepada kerajaan beberapa langkah yang perlu diambil termasuklah anggaran perbelanjaan pembinaan bangunan, reka bentuk bangunan, bengkel, makmal, kurikulum dan sebagainya.

Berikutan itu, satu perjanjian kerjasama lima tahun telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan Kanada. Mengikut perjanjian tersebut, Kerajaan Kanada bertanggungjawab untuk menyediakan tenaga pengajar, merangka data kursus dan menganjurkan latihan untuk kakitangan tempatan di Kanada.

Dengan itu lahirlah Maktab Perguruan Teknik (MPT) pada 17 Mei 1962, selepas tibanya sekumpulan guru teknik dan vokasional dari Kanada yang diketuai oleh Encik B.F. Addy. Bangunan MPT yang pertama terletak di Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Bangunan ini adalah bekas bangunan Kolej Perempuan Melayu (Malay Girl's College) yang telah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan. Kemudian pada akhir tahun 1967 apabila perkhidmatan kakitangan dari Kanada tamat, semua tanggungjawab untuk mengurus maktab ini diambil alih oleh pegawai-pegawai tempatan.

Peranan maktab ini telah menjadi bertambah penting dengan terlaksananya Sistem Pelajaran Aneka Jurusan dalam tahun 1965 yang memperkenalkan empat mata pelajaran baru di peringkat sekolah menengah rendah, iaitu Seni Perusahaan, Sains Pertanian, Perdagangan dan Sains Rumah Tangga.

MPT mula mengendalikan Kursus Pertukangan pada awal tahun 1970, apabila jabatan berkenaan di Maktab Perguruan Pertukangan di Kuantan dipindahkan ke sini. Pada tahun 1972 kursus Pengajian Perdagangan pula dimulakan apabila Jabatan Pengajian Perdagangan Maktab Perguruan Ilmu Khas dipindahkan ke maktab ini dalam usaha menggabungkan jurusan teknik dan vokasional.

MPT juga telah mengendalikan latihan perguruan dalam tiga komponen kursus Kemahiran Hidup: Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Manipulatif Tambahan dan Pertanian sejak 1989 sehingga kursus-kursus tersebut dipindahkan ke Maktab Perguruan Batu Pahat dalam tahun 1992.

Mulai tahun 2006, MPT dinaiktarafkan dengan kemampuan menganugerakan Ijazah Perguruan kepada para pelajarnya. Ia mula dikenali sebagai Institut Perguruan Teknik (IPTKL). Kini, IPTKL dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (IPGKPT.

Sebuah MoU telah ditandatangani oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia pada sekitar tahun 2007. Setelah MoU ini ditandatangi, maka pihak Universiti Kebangsaan Malaysia akan meluaskan tapak pusat perubatannya yang terletak bersebelahan dengan IPTKL. Oleh itu, sebuah tapak baharu perlu diadakan untuk menggantikan tapak IPTKL yang sedia ada. Setelah penyelidikan dan tinjauan dibuat, sebuah tapak baharu telah dikenalpasti yang mana, bangunan baru IPGKPT akan ditempatkan iaitu di sebuah projek Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi yang terletak kira-kira 20km dari bandar Seremban, Negeri Sembilan. Kompleks Pendidikan seluas 270 hektar ini menempatkan bukan sahaja IPGKPT, malahan Politeknik Nilai, Institut Aminuddin Baki, English Language Training Center, dan Kolej Tunku Kurshiah.

Pembinaan bangunan baharu Fasa Pertama IPGKPT di Kompleks Pendidikan Nilai, Negeri Sembilan telah lengkap sepenuhnya pada penghujung 2012. Perpindahan warga IPGKPT ke kompleks ini bermula secara berperingkat-peringkat dan seterusnya perpindahan penuh. Pada penghujung 2012, warga kolej kediaman IPGKPT Kuala Lumpur telah memulakan pemindahan barang-barang mereka ke kampus baharu di Nilai, Negeri Sembilan. Malahan, beberapa jabatan juga memulakan proses pemindahan besar-besaran seperti Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Reka Bentuk dan Teknologi, Jabatan Kejuruteraan, Unit Pusat Sumber dan sebagainya. Pemindahan besar-besaran ini telah menandakan bahawa era kegemilangan MPTKL akan kekal di kampusnya di Bandar Tun Razak Cheras dan kegemilangannya akan diteruskan di tempat baharu, dengan semangat baharu, dengan nama baharu, Insitut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Pendidikan Teknik, Nilai.